Friday, June 10, 2011

Halus Perasaan II

Sampailah sekarang kita kepada zaman baru. Manusia merdeka menyatakan perasaannya dan fikirannya. Tetapi tentu kita ingat pula, bahawa dengan kemerdekaan, manusia merdeka pula perkembang peribadinya dan memberi batas-batas bagi dirinya sendiri-sendiri, mana yang merugikan orang lain. Mentang-mentang demokrasi, bukanlah ertinya ‘tidak berperasaan’.

Meskipun dianjurkan halus perasaan , sifat ‘lekas perasa angin’ amat berbahaya pula. Terlalu ‘sentimen’ sangat pulak besar celakanya. Kerana dengan demikian, kita akan merasa canggung bergaul dengan orang lain, berasa-rasa akan salah sahaja, di pegang-pegang dasi, dilihat-lihat sepatu, di barut-barut rambut, adakah baik sisirnya. Halus perasaan yang seperti ini tidak akan menegakkan peribadi, melainkan mungkin meruntuhkannya.

Daya Penarik

Apa hendaknya pada kita suatu daya penarik, yang menyebabkan jiwa orang berdekat dengan kita, tetap lekat dengan kita, sehingga timbul perhubungan yang kekal. Tidak kerana dipaksa-paksa dan dibuat-buat. Loyang sepuhan, lama-kelamaan akan kembali juga kepada warnanya yang asli.

Dengan apa kita menarik orang?

Dengan budi yang tinggi, kesopanan, ilmu pengetahuan yang luas, kesangupan menahan hati kepada perkara yang belum, di sepakati dengan kecerdasan, kecepatan menarik kesimpulan, kebagusan susun kata, kepandaian menjaga perasaan orang dan kesanggupan menenggang.

Kumpulan sifat dan kelebihan itu menimbulkan daya penarik pada diri kita. Hal itu dapat dipelajari dengan pergaulan yang luas, dan ada juga kerana di pusakai. Pendidikan ibubapa, sekolah, teman sejawat dan lingkungan masyarakat, semuanya itu adalah guru yang membentuk daya penarik. Kuat atau lemahnya.

Ada orang, yang mulai kelihatan saja rupanya, sudah menarik hati kita, tetapi setelah bertukar fikiran, nyata dimana kekurangannya.

Sebaliknya ada orang yang mula-mula kita lihat telah menimbulkan rasa benci, dan setelah bertukar fikiran, ia pun membangkitkan penghargaan. Kita dengar keburukan seseorang daripada musuhnya. Kita belum mendekatinya. Kata musuh payah yang adil.

Lemah lembut, tetapi bukan diertikan menerima sahaja, lunak tetapi tidak lekas berkisar dari suatu pendirian, dan jujur dalam perkara yang belum diketahui. Tegas! Banyak perkara sulit yang dapat diselesaikan dengan mudah, kerana kelapangan dada menghadapi dia, bukan gegabah. Dengan kekuatan jiwa saja banyak maksud yang dapat dihasilkan, kerana yang mengurusnya mempunyai daya penarik.

Halus Perasaan

Kehalusan perasaaan adalah bekas peribadi yang kuat. setengahnya kerana di pusaka dan setengahnya kerana luas pergaulan, banyak pengalaman dan banyak berkeliling melihat negeri orang lain, sehingga dapat membandingkan masyarakat dan lingkungan sendiri dengan masyarakat dan lingkungan yang lain.

Apabila dapat menghargai orang lain dalam pendiriannya, kerana diketahuinya pokok pangkal yang menjadi sebab pendirian itu, meskipun pada dasarnya dia tidak menyetujuinya.
Orang yang kasar perasaan, atau tebal muka dan orang hanya menghargai dirinya saja, yang sempit daerahnya dan picik fahamnya, adalah memberati (membebankan) orang lain. Kasar perasaan, matanya mata betung, telinganya telinga kuali, berat darah; padahal binatang yang diikat dengan tali, namun manusia tahu akan sindir.

Bila kita renungkan kata-kata pusaka yang ditinggalkan nenek moyang, mengakulah kita bahawa mereka pernah meningkat ketinggian budi pekerti, sehingga berbekas dalam pepatahnya. Orang yang halus perasaan disebut mereka itu. “Tahu akan ribut yang mendingin, tahu akan unggas yang meleting, tahu akan sindir bayangan kata-kata”. Mereka pun berkata: “Jika kakimu terantuk pada batu, inai (pacar)-lah jadi ubatnya. Tetapi jika lidahmu yang terlanjur, emaslah pembayarnya”…

Thursday, June 09, 2011

peribadi

Kerapkali kita membicarakan orang yang kita cintai atau kita hormati, yang telah lama bercerai dengan kita. Kita ingat segala kebaikannya dan tidak pula kurang kita membicarakan kelemahannya. Perangai halus, hatinya suci, sikapnya jujur, perkataannya teratur dan budinya mulia. Kelakuannya baik, mukanya jernih, sebab dia memandang hidup dengan penuh pengharapan dan tidak pernah putus asa. Apa yang diyakininya, itulah yang diyakininya.

Maka kita ambillah kesimpulan, bahawa dia seorang budiman.

Dia cerdas, akalnya tajam, buah fikiranya baik, dan ia pun cepat mengambil kesimpulan; terang otaknya, luas pandangannya dan jauh tiliknya.

Maka kita katakan bahawa ia cerdas.

Dia suka bergaul, suka menolong tidak menyisih dari masyarakat, tidak memikirkan kepentingan dirinya sendiri atau keluarganya sahaja, tidak gila pangkat; mengerti akan kedudukan orang lain dan merasa dirinya turut dalam kedudukannya itu. Hormat kepada yang tua, kasih kepada yang muda, pandai bergaul, pandai berkawan. Maka kita berilah dia bergelar orang masyarakat.

Badannya sihat, mukanya berseri-seri kerana kesihatan jiwanya. Pakaiannya pun bersih kerana kebersihan hatinya. Dia gemar akan olahraga untuk kesihatan tubuh dan dia suka musik untuk kesihatan batin. Kita namai dia orang sihat.

Fahamnya luas, penyelidikannya dalam, bacaannya banyak. Sebab itu banyaklah yang diketahuinya, sehingga dia tidak berasa canggung dalam pergaulan dengan segala lapisan. Oleh kerana ada pengetahuannya dalam sesuatu hal, maka dia berani bertanggungjawab.

Maka kita namai dia orang cerdik pandai.

Semuanya itu, budi, akal, pergaulan, kesihatan dan pengetahuan, berkumpul menjadi satu, pada suatu orang. Kumpulan itulah yang membentuk peribadi.

Wednesday, June 08, 2011

keberanian bersopan

bersopan, keberanian budi, ialah berani menyatakan sesuatu perkara yang diyakini sendiri akan kebenarannya, walaupun akan dibenci oleh orang lain. di dalam lidah syarak, pekerti yang sedemikian namanya amar ma'aruf, nahyu anil mungkar, menyuruh berbuat baik mencegah berbuat jahat.
di dalam masyarakat perlu ada orang-orang yang berani menyatakan perkara-perkara yang dipandangnya benar itu, baik pun dengan sikap menyerang. misalnya menyatakan kesalahan perkara-perkara yang telah terbiasa pakai orang, telah beradat, padahal tidak lagi sesuai dengan zaman. dan boleh juga sikap menangkis, yakni kelihatan sesuatu hal yang bersalahan dengan kebenaran, dilakukan atau di ucapkan oleh orang lain, padahal tidak ada orang yang berani membantah itu, lalu kita bantah dengan alasan yang cukup.
tidaklah sesuatu bangsa akan tegak, tidaklah suatu faham akan dapat didirikan, kalau sekiranya di dalam bangsa itu sendiri tidak ada orang yang berani menyatakan kebenarannya.