Thursday, June 09, 2011

peribadi

Kerapkali kita membicarakan orang yang kita cintai atau kita hormati, yang telah lama bercerai dengan kita. Kita ingat segala kebaikannya dan tidak pula kurang kita membicarakan kelemahannya. Perangai halus, hatinya suci, sikapnya jujur, perkataannya teratur dan budinya mulia. Kelakuannya baik, mukanya jernih, sebab dia memandang hidup dengan penuh pengharapan dan tidak pernah putus asa. Apa yang diyakininya, itulah yang diyakininya.

Maka kita ambillah kesimpulan, bahawa dia seorang budiman.

Dia cerdas, akalnya tajam, buah fikiranya baik, dan ia pun cepat mengambil kesimpulan; terang otaknya, luas pandangannya dan jauh tiliknya.

Maka kita katakan bahawa ia cerdas.

Dia suka bergaul, suka menolong tidak menyisih dari masyarakat, tidak memikirkan kepentingan dirinya sendiri atau keluarganya sahaja, tidak gila pangkat; mengerti akan kedudukan orang lain dan merasa dirinya turut dalam kedudukannya itu. Hormat kepada yang tua, kasih kepada yang muda, pandai bergaul, pandai berkawan. Maka kita berilah dia bergelar orang masyarakat.

Badannya sihat, mukanya berseri-seri kerana kesihatan jiwanya. Pakaiannya pun bersih kerana kebersihan hatinya. Dia gemar akan olahraga untuk kesihatan tubuh dan dia suka musik untuk kesihatan batin. Kita namai dia orang sihat.

Fahamnya luas, penyelidikannya dalam, bacaannya banyak. Sebab itu banyaklah yang diketahuinya, sehingga dia tidak berasa canggung dalam pergaulan dengan segala lapisan. Oleh kerana ada pengetahuannya dalam sesuatu hal, maka dia berani bertanggungjawab.

Maka kita namai dia orang cerdik pandai.

Semuanya itu, budi, akal, pergaulan, kesihatan dan pengetahuan, berkumpul menjadi satu, pada suatu orang. Kumpulan itulah yang membentuk peribadi.

No comments: