Monday, August 08, 2011

jadi ulul albab bukan berfikiran lembab

Saya amat anti apabila mendengar sesetengah penceramah menyebut bahawa dalam agama ini semua yang diterangkan oleh tok-tok guru mesti diterima sahaja, jangan banyak pertikai atau soal. Bahkan mereka mengangkat slogan barang siapa banyak bertanya itu maka lemahlah imannya. Akhirnya, sehingga sesetengahnya disesatkan guru-guru tarikat mereka, atau diselewengkan oleh ustaz-ustaz mereka. Punca utama kesesatan kebanyakan manusia ini adalah anggapan bahawa akal perlu dimandulkan tanpa perlu bertanya dalil atau hujah apabila berhadapan dengan golongan agama. Seakan ajaran Islam ini antiakal yang matang yang sentiasa menilai apa yang didengar. Padahal akal yang matang itulah ciri golongan Ulul Albab yang diseru oleh al-Quran. Kata tokoh pemikir semasa Muhammad al-Ghazali r.h: Aku begitu berang dan marah apabila difahami agama itu sebagai kecenderungan kepada perkara-perkara ghaib yang kabur, atau menuruti perasaan yang tidak pasti. Seakan iman itu pemikiran yang pasif, sementara antiiman pula adalah pemikiran yang aktif. Atau seakan insan mukmin itu tunduk kepada kejahilan, sementara orang lain pula menyingkap penemuan baru dan mencari ilmu pengetahuan. Boleh jadi golongan yang menyandarkan diri kepada agama ini terdiri daripada kalangan yang buruk pemikirannya, atau berpenyakit fitrahnya, namun apalah dosa agama ini sehingga disandar kepada mereka atau mereka pula yang membawa agamanya. (Muhammad al-Ghazali, Ilal Wa Adwiah, 36, Kaherah: Dar al-Syuruq). Maka jadilah kita golongan Ulul Albab, bukan golongan berfikiran lembap.

No comments: