Wednesday, November 30, 2011

TEKS UCAPAN KETUA PEMUDA UMNO, KHAIRY JAMALUDDIN DI PERSIMPANGAN JALAN PERJUANGAN

Yang Berbahagia Dato¡¦ Pengerusi Tetap,

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,

Wakil-wakil Majlis Tertinggi

- Yang Amat Berhormat Dato¡¦ Seri Dr Zambry Abdul Kadir

- Yang Berhormat Dato¡¦ Sri Ismail Sabri Yaakob

- Yang Berbahagia Dato¡¦ Abdul Azeez Abdul Rahim

Yang Berhormat Dato¡¦ Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri

Para Perwakilan dan Pemerhati

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Penguasa Semesta Alam, kerana dengan rahmat dan izin-Nya, Pergerakan Pemuda sekali lagi dapat berkumpul di pagi yang penuh keberkatan ini bagi menunaikan kewajipan kita sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Parti.

2. Bertepatan dengan suasana Syawal, saya dan seluruh kepimpinan Pemuda peringkat nasional dan negeri mengucapkan selamat menyambut Hari Raya dan memohon maaf zahir dan batin kepada semua pihak, sekiranya ada tersilap kata atau terlanjur laku. Atas itu, saya secara peribadinya, sekali lagi menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap selama ini. Sesungguhnya, inilah peluang dan ketika yang terbaik, untuk kita merapatkan saf, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, serta saling maaf-memaafi bagi kita semua bergerak ke hadapan untuk berbakti pada nusa dan bangsa.

Banyak masa antara masa

Tiada tandingan saatnya ini

Jari disusun maaf dipinta

Teguh ikatan seikhlas hati

3. Pada majlis yang penuh mulia ini juga, izinkan saya mewakili seluruh ahli Pergerakan Pemuda, secara rasminya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada mantan Presiden, YABhg Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi serta bekas Ketua kita, YB Dato¡¦ Seri Hishammuddin Tun Hussein, atas jasa dan sumbangan mereka – bukan sahaja sebagai pemimpin dan payung bagi kita, namun juga selaku insan berjiwa besar yang telah menyerahkan tampuk kedudukan kepada generasi baru.

Kalau ada si bunga rampai

Kirimkan saya buat penyeri

Jasa tuan tidak ternilai

Seluruh alam menjadi saksi

Saudara Perwakilan Sekelian,

4. Kehadiran saudara pada hari ini pastinya dengan semangat dan komitmen yang jitu kepada perjuangan parti. Sewajarnya, kita menginsafi bahawa kita, insan yang serba kerdil ini telah diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan juga wakil di dewan yang mulia ini. Hadirnya jasad dan roh kita bukan atas nama individu dengan kepentingan diri sendiri. Hadirnya kita di sini adalah bernawaitukan kepada Allah SWT, bagi mendukung dan memperkasakan institusi UMNO serta Pemuda UMNO yang telah menjadi wadah pembangunan bangsa dan negara – yang berjaya merentasi pelbagai ombak dan badai rintangan dalam mengharungi zaman dan sejarah.

5. Komitmen dan istiqamah terhadap perjuangan ini sememangnya terpahat kukuh atas landasan dan asas agama. Kita diingatkan oleh Allah SWT tentang istiqamah dan pentingnya kita berpegang kepada tali agama dan perpaduan.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al Maidah, ayat 2:

¡§¡Kdan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya.¡¨

6. Sepanjang enam puluh tahun, Pergerakan Pemuda dihimpunkan dalam satu jemaah atas kesedaran ini. Allah SWT tidak menyatukan kita untuk melakukan perkara yang mungkar, membawa kerosakan dan kepincangan kepada bumi dan bangsa. Kita disatu dan disepakatkan melalui proses politik untuk berbakti dan mencurah amal kebajikan kepada umat dan watan kita, menyempurnakan satu ibadah sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Az Zariyat, ayat 56:

¡§Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku¡¨

7. Tujuan kita berpolitik mestilah berpaksi kepada kesedaran murni ini. Inilah medan dan ladang bagi kita menyemai amal dengan perjuangan duniawi melalui dimensi dan proses politik. Inilah jua makna dan sumber kemuliaan perjuangan kita dalam membela, mempertahan dan memajukan agama, bangsa dan tanahair.

Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,

8. Kita sebenarnya berada di persimpangan jalan yang cukup penting dalam perjuangan Pemuda UMNO. Pilihan yang kita ambil akan menentukan jatuh bangun parti menjelang cabaran paling besar dalam sejarah kita. Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) adalah pertarungan survival bagi UMNO dan Barisan Nasional. Pakatan Pembangkang akan cuba memberi pukulan maut kepada kita setelah berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dan menang di lima negeri pada pilihanraya yang lepas. UMNO dan BN hanya ada tiga tahun untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kita masih merupakan pemimpin dan pentadbir yang terbaik untuk negara ¡V yang mampu memenuhi aspirasi rakyat.

9. Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada dunia. Mereka lebih mudah membuat perbandingan akan tahap pencapaian dan amalan politik di Malaysia dengan negara-negara lain. Ramai daripada kumpulan ini merupakan generasi muda ¡V hampir tujuh juta dari pengundi pada PRU-13 nanti terdiri daripada pengundi muda. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.

10. Yang pasti, lanskap politik tanahair amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas samada melalui media masa atau media baru. Pemodenan negara dengan infrastruktur canggih seperti jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih bukan hanya meningkatkan produktiviti ekonomi negara tetapi juga memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik rakyat.

11. Inilah persekitaran terkini ¡V lebih bebas, terbuka, muda, terdidik dan kosmopolitan. Kaedah berpolitik di abad ke 21 ini menuntut kepada perubahan sepertimana perubahan zaman yang telah berlaku. Persekitaran yang mencabar ini dan masa yang teramat suntuk menuntut kita untuk bergerak sepanjang waktu, tanpa noktah, tanpa rehat kerana survival kita bergantung kepada keputusan PRU-13 nanti.

12. Atas kesedaran tersebut, walaupun baru enam bulan berlalu sejak pemilihan pimpinan Pemuda dilangsungkan, Pergerakan Pemuda telah memulakan gerak kerja ke arah peremajaan dan pemulihan parti. Barisan Exco dan kepimpinan negeri telah bermukim di Khemah Kerja Perdana di Janda Baik pada bulan April yang lalu, lantas kita muncul seia sekata dengan satu hati dan satu misi.

13. Selari dengan cabaran politik kini, Pemuda telah mengambil pendekatan yang menyeluruh dengan menyusun barisan Exco dan Sekretariatnya agar menjadi lebih responsif dan menjangkau kesemua segmen sasaran generasi muda. Ini meliputi rentasan geografi serta lapisan masyarakat seperti pekerja muda dan profesional muda di bandar dan di luar bandar, di bangku sekolah hingga ke universiti dan kolej.

14. Semua ini merupakan contoh bagaimana Pemuda akan bergerak bagi memenangi hati orang muda. Kita tidak boleh bergantung kepada retorik kosong politik. Jangan kita menjadi singa sarkas, yang mengaum tanpa sebab. Retorik mungkin mampu menarik liputan media buat seketika, tetapi untuk kita menarik sokongan rakyat biarlah kita tertumpu kepada usaha yang betul-betul menyentuh nasib rakyat dan isu-isu kebajikan mereka seperti malapetaka, musibah, kemiskinan, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perumahan.

15. Generasi muda juga mengharapkan kepimpinan fikiran atau thought leadership dari Pemuda UMNO ¡V dan saya cukup bangga sebab dalam beberapa ruang debat, pentas ceramah dan forum TV serta medan-medan lain, Pemuda berada di barisan hadapan mewakili UMNO dan BN.

16. Ada tanda-tanda awal menunjukkan keberkesanan pendekatan ini, dengan penerimaan orang muda terhadap UMNO dan BN kembali meningkat. Daripada data keputusan pilihanraya kecil setakat ini, berkat usaha gigih saudara-saudara sekalian, di Manek Urai, sokongan orang muda telah meningkat di semua saluran manakala di Bagan Pinang minggu lepas, ia semakin jelas dengan bukan sahaja peningkatan malahan kemenangan BN. Siapa kata orang muda makin menjauhkan diri daripada perjuangan kita? Kemenangan kita baru-baru ini memberi semangat bahawa UMNO masih relevan dan mampu terus menjadi wadah perjuangan umat Melayu, terutamanya generasi muda.

17. Namun begitu, kita tidak boleh leka dan lalai. Anggaplah pencapaian permulaan ini sebagai satu rangsangan. Bahawa dengan strategi yang tepat dan gerakan yang menepati citarasa golongan belia, pengundi muda yang dikatakan begitu sukar untuk ditawan, sebenarnya boleh dimenangi. Pemuda UMNO dipertanggungjawabkan terhadap segmen ini, menarik sokongan mereka kepada BN, kerana kitalah yang merupakan titik sentuhan utama mereka dengan parti.

18. Justeru, Pemuda perlu melakukan transformasi generasi dalam pendekatan kita. Menyedari keperluan ini, saya telah memperkenalkan Rukun Pemuda sebagai asas kepada transformasi kita. Lima rukun ini, iaitu bersatu, berprinsip, inklusif, relevan dan proaktif, menggariskan satu falsafah kerja yang baru serta meletakkan garis panduan kepada pergerakan kita untuk mencapai matlamat kemenangan sokongan generasi muda.

19. Bersatu bermaksud bahawa asas kekuatan kita adalah perpaduan dan gerak kerja berpasukan, membariskan semua ahli Pemuda dalam saf perjuangan yang kukuh. Berprinsip pula bermakna bahawa Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO bagi menegak, mempertahan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Inklusif pula bermakna aktiviti dan program kita menjangkau parti dan merentasi perbezaan agama dan bangsa. Relevan membawa maksud bahawa segala program, medium penyampaian, gaya bahasa dan saluran maklumat hendaklah menepati citarasa golongan yang disasarkan. Akhir sekali, Proaktif merupakan piawaian budaya kerja di mana segala perancangan dan tindakan hendaklah dibuat tanpa menunggu arahan terutama dalam hal ehwal kebajikan rakyat sebelum ia menjadi kronik hingga dieksploitasi oleh pembangkang.

Saudara Perwakilan Sekalian,

20. Berlandaskan Rukun Pemuda inilah, kita akan menyahut semangat 1Malaysia yang mementingkan prestasi demi rakyat. Justeru, saya mencadangkan agar satu set penanda aras dibentuk untuk menjadi garis panduan gerak kerja Pemuda. Bukan sekadar itu, set penanda aras ini akan membantu kita melihat dan menilai rekod pencapaian pemimpin dan ahli Pemuda.

21. Penanda aras yang perlu kita terapkan adalah seperti berikut:

[i] Meningkatkan keahlian UMNO, khasnya keahlian baru golongan muda yang menyertai parti;

[ii] Mendaftarkan ahli-ahli UMNO sebagai pengundi di kawasan masing-masing;

[iii] Menjalin hubungan antara Pemuda UMNO bersama golongan-golongan yang berpengaruh dalam menjana perspektif generasi muda, atau opinion-shapers, seperti kumpulan cendekiawan, profesional muda, penulis-penulis muda, tokoh-tokoh agama dan golongan pendidik;

[iv] Memenangi perang mesej atau perang saraf, terutamanya di alam siber yang menjadi platform komunikasi politik masa kini;

[v] Dan penanda aras yang terakhir, yang paling penting untuk menilai prestasi Pemuda UMNO, adalah menambahkan undi golongan muda kepada BN, sekaligus memenangi undi saluran-saluran muda dalam pilihanraya.

22. Set penanda aras ini selari dengan transformasi UMNO untuk menyegar dan meremajakan lagi parti.

Saudara Perwakilan Sekalian,

23. Antara usaha penting yang juga dilakukan adalah pindaan Perlembagaan parti, supaya lebih sesuai dengan kehendak ahli UMNO, sepertimana yang telah disebut oleh YAB Presiden semasa Perhimpunan Agung yang lalu.

24. Pemuda menyambut baik usaha yang telah dirintis oleh YB Dato¡¦ Sri Hishammuddin Tun Hussein, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, yang telah mencadangkan beberapa perubahan berdasarkan kepada premis untuk menghak-upayakan lebih ramai lagi ahli UMNO menentukan barisan kepimpinan tertinggi parti. Ia juga memudahkan ahli bertanding tanpa sekatan, menjadikan UMNO lebih inklusif dan memudahkan proses menjadi ahli.

25. Secara keseluruhannya, Pemuda menyokong penuh cadangan pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas, esok. Pemuda juga meletakkan harapan supaya segala pindaan tersebut akan diterima kerana ia secara langsung memberi pengiktirafan khusus kepada orang muda. Saya tidak sekali-kali lupa bahawa di cawangan-cawangan serata negara-lah, jiwa perjuangan UMNO mula disemai di kalangan anak muda. Atas kesedaran itulah, sukacita saya melaporkan kepada saudara-saudara sekalian, satu usul penting yang akan dibentangkan esok ¡V yang perlu disokong oleh kita semua; iaitu usul bagi mengiktiraf Ketua Pemuda Cawangan sebagai perwakilan automatik ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Bila Pemuda akar umbi bersuara, Pemuda negara diperkasa.

26. Pindaan perlembagaan juga membawa perubahan besar kepada parti di mana proses pemilihan jawatan tertinggi akan dibuat di peringkat bahagian dan tidak lagi terbatas kepada perwakilan di peringkat perhimpunan agung. Ini bermakna dari hanya 2,600 perwakilan yang menentukan kepimpinan parti selama ini, lebih dari 140,000 ahli akan diberi hak sedemikian.

27. Pemuda menganggap pindaan ini tepat pada waktunya dan berharap ia merupakan satu langkah permulaan bagi lebih mencerminkan profil UMNO sebagai parti akar umbi yang terbuka dan demokratik. Oleh itu, adalah menjadi harapan Pemuda, sekiranya sistem baru ini berjalan dengan lancar agar akhirnya satu hari nanti kuasa pemilihan ini diberi kepada kesemua tiga juta ahli UMNO. Satu Ahli, Satu Undi. Inilah nilai keahlian yang sebenar dengan memberikan hak dan kuasa kepada setiap ahli untuk menentukan kepimpinan parti ¡V satu hak yang penting dan paling asas dalam politik.

28. Satu lagi perkara penting yang memberi kesan besar kepada Pemuda dan proses peremajaan parti adalah dalam perkara keahlian. Sebelum ini kita dengar banyak rungutan tentang kesukaran untuk menjadi ahli UMNO, terutamanya bagi generasi muda yang ingin berjuang bersama Pemuda. Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan pada hari esok, permohonan untuk mendaftar sebagai ahli boleh diterima dan ditandatangani bukan hanya oleh Ketua Cawangan tetapi juga oleh Ketua Pemuda Cawangan. Dari itu saudara-saudara, jangan kita sia-siakan kuasa yang telah diberikan ini. Marilah kita melipat gandakan usaha dan tekad dalam memenangi hati orang muda di luar sana untuk bersama kita. Maka, saya menyeru agar saudara-saudara semua memberikan sokongan padu kepada cadangan pindaan yang akan dibentangkan esok.

Saudara Perwakilan Sekalian,

29. Pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan nanti adalah berkait dengan generasi muda yang menjadi ahli UMNO. Oleh itu, sewajarnya kita sebagai sebuah parti yang bersifat inklusif kepada semua, mencari jalan memperjuangkan kepentingan semua golongan muda baik di dalam mahupun di luar parti. Inilah tafsiran mesra rakyat yang diperjuangkan oleh Pemuda UMNO.

30. Masalah orang muda hari ini terutamanya bagi yang berhijrah ke bandar adalah peluang pekerjaan yang tidak menentu, kemudahan perumahan yang tidak terancang dan kurang penglibatan sivik. Tidak dinafikan, ramai dikalangan mereka mendapat peluang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan sehingga memiliki ijazah, diploma atau sekurang-kurangnya sijil. Namun, apabila mereka gagal memperoleh peluang pekerjaan dan menganggur, sering kali kita mendengar dakwaan yang menyalahkan orang muda – tidak cukup bijak, tidak fasih berkomunikasi dan tidak berkeyakinan. Ini menuntut kita mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan mereka.

31. Oleh itu, Pemuda ingin memohon beberapa langkah mesra kepada golongan muda dipertimbangkan oleh Kerajaan menjelang pembentangan Bajet 2010. Kita berharap Kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa inisiatif khas untuk generasi muda sebagai salah satu daripada teras utama dalam Bajet akan datang yang antara lainnya, meliputi:

[i] Peluang perkerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutamanya di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bio-teknologi;

[ii] Peluang latihan sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran seperti penguasaan bahasa-bahasa antarabangsa dan teknologi terkini;

[iii] Pinjaman khas untuk usahawan muda, terutamanya bagi mengatasi halangan modal perniagaan di peringkat start-up atau permulaan serta bagi menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi;

[iv] Sokongan bagi gerak kerja sukarelawan dan pembangunan kebajikan komuniti; serta

[v] Menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.

32. Pada masa yang sama, Pemuda juga prihatin kepada nasib golongan muda yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga, yang baru sahaja bekerja dan mempunyai pelbagai tanggungan, termasuklah membantu ibubapa dan membayar pinjaman pendidikan. Oleh itu, Pemuda mencadangkan inisiatif ini diberi perhatian oleh Kerajaan:-

[i] Menubuhkan tabung untuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang terendah untuk beberapa tahun pertama agar orang muda yang baru berkahwin mampu memiliki rumah;

[ii] Memberi diskaun istimewa untuk kereta nasional kepada mereka yang mempunyai anak pertama dan baru hendak memiliki kereta;

[iii] Memperuntukkan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga sebagai simpanan permulaan Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional; dan

[iv] Menawarkan baucer membeli barangan keperluan asas bayi seperti susu dan lampin.

33. Pemuda berharap Kerajaan dapat menimbang dan memberi perhatian kepada cadangan-cadangan ini. Pemuda percaya bahawa dengan gerak kerja dan khidmat yang berterusan, insya-Allah BN akan dapat memenangi hati dan sokongan generasi muda yang merupakan aset dan harapan negara kita.

Saudara Para Perwakilan Sekalian,

34. Rakyat kini dihidangkan dengan pilihan antara gagasan yang membangunkan negara sejak sekian lama, yakni Barisan Nasional, atau pakatan pembangkang yang terus menerus memecahbelahkan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini. Bahawa mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen ¡V bahawa perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama. Apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati. Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

Anak Batak mudik bergalah

Digigit nyamuk habis lebam

Pakatan retak menanti belah

Remuk di dalam dipendam-pendam

Batang cempedak pohon pedada

Buah peria di dalam dulang

Pakatan pembangkang temberang belaka

Janji bak lidah tidak bertulang

Riuh-rendah di pintu muara

Lebai Kassim membuka silat

Pembangkang gian tamakkan kuasa

Batu api perpecahan rakyat

35. Insiden-insiden yang kita lihat semenjak PRU-12 telah membangkitkan sangkaan bahawa tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang. Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa. PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

36. PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor. Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa.

37. Kalau DAP yang paling berkuasa, maka kita berhak untuk bertanya: siapa sebenarnya DAP ini? Bertopengkan platform parti berbilang bangsa, tetapi hakikatnya mereka didominasi oleh satu kaum sahaja. Selepas 40 tahun Lim Kit Siang menjadi Ahli Parlimen, pembukaan satu cawangan Melayu DAP bulan lepas digembar-gemburkan seolah-olah satu pencapaian yang cukup hebat. DAP hanya parti berbilang kaum pada namanya sahaja, sedangkan perjuangan sebenar mereka berunsur perkauman yang menyala membara seperti api dalam sekam.

38. PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR, atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR. Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dia-lah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.

39. Tetapi Anwar Ibrahim jangan kamu lupa sejarah kamu, kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja? Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

40. Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi manusia? Atau apakah Anwar Ibrahim berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi Anwar Ibrahim? Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar ¡V seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam. Tetapi UMNO dan Pemuda UMNO ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya.

Saudara Perwakilan Sekalian,

41. BN ditubuhkan atas dasar persaudaraan dan persefahaman untuk menegakkan Perlembagaan dan asas kewujudan negara. Inilah perkongsian platform yang wujud dalam BN. Tetapi pakatan pembangkang tidak mempunyai sebarang persefahaman bersama melainkan nafsu untuk merampas Kerajaan ¡V itupun kita tidak tahu siapa akan menjadi Perdana Menteri kalau pakatan ini mengambil alih. Malah dalam memilih Kabinet Bayangan, mereka memilih jalan selamat untuk menamakan tiga ahli bagi setiap portfolio kabinet, kerana mereka sebenarnya langsung tidak ada persefahaman dalam perkongsian kuasa, tidak seperti BN yang telah teruji dan terbukti.

42. Pakatan pembangkang tidak berprinsip sepertimana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada Perlembagaan. Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?

43. Kita perlu terus mendedahkan taktik kotor pembangkang ini. Kita tidak pernah barang sedetik gentar dengan mereka kerana mereka yang sebenarnya takut dengan kita. Mereka yang takut dengan kepimpinan YAB Dato¡¦ Seri Najib. Mereka tiada idea baru. Dalam ketandusan tersebut mereka amat licik mencucuk rakyat, menyebar fitnah, menimbulkan huru hara, membuat rakyat akhirnya merana. Bak kata pepatah, kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting.

44. Pakatan pembangkang takut tindakan kejam mereka terhadap penduduk Kampung Buah Pala akan diingati rakyat. Mereka takut rakyat menuntut janji RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang ditawarkan masuk ke universiti, yang masih tak tertunai. Apatah lagi janji menurunkan 20 peratus cukai pintu yang sampai hari ini belum dilaksanakan walaupun sudah hampir 20 bulan berkuasa. Pokoknya, mereka takut akan kesedaran rakyat yang telah terpedaya dengan segala janji manis, tipu muslihat dan dakyah mereka terburai begitu sahaja.

45. Oleh itu, saudara sekalian, marilah kita bersama-sama bersatu mendedahkan helah dan dakyah pembangkang ini. Mari kita tewaskan mereka dalam permainan politik berbahaya mereka ini, yang sanggup menggadaikan segalanya hanya untuk berkuasa. Jangan kita biarkan Kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh satu kumpulan yang sebenarnya saling tindas-menindas, yang sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka sehingga tidak teragak-agak untuk menghalalkan yang haram, mengiyakan yang palsu, melupakan yang jitu demi mengejar mimpi mereka yang tamakkan kuasa.

Daun mengkudu di atas dulang

Anak udang mati dituba

Negara berpecah pembangkang girang

Demi kuasa dan tamak haloba

Pergi berburu nun ke sempadan

Dapat kancil kongsi bersama
Selagi hayat dikandung badan
Pemuda kekal pertahankan negara

Saudara Perwakilan Sekalian,

46. Sudah terbukti, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Presiden telah berjaya memikat hati golongan muda. 1Malaysia merupakan satu konsep yang cocok dan sesuai dengan tuntutan zaman yang dahagakan satu prinsip politik yang berasaskan agenda perpaduan serta pencapaian demi rakyat jelata. Berpandukan semangat 1Malaysia ini, Pemuda perlu berpegang kepada satu misi baru untuk menjadi batu asas kepada perjuangan kontemporari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Misi ini adalah untuk memenangi hati seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya orang Melayu sahaja. Dari segi percakapan kita, perjuangan kita dan strategi politik kita, Pemuda UMNO perlu menerajui misi baru ini supaya kita memberi harapan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan latar belakang.

47. UMNO sebagai tunjang BN mestilah menunjukkan visi perjuangan yang mengenengahkan mutu kepimpinan kita yang syumul, inklusif lagi nasional. Inilah jalan berani. Jalan berani kerana ia menuntut satu anjakan daripada politik zon selesa berdasarkan perspektif bangsa dan parti kepada satu kesedaran politik yang merangkumi semua.

48. Saya menyebut tentang keberanian juga, kerana kita kini berada di persimpangan jalan perjuangan, yakni satu persimpangan di mana kita boleh memilih untuk kekal dengan cara dan gaya lama. Kita boleh bertempik suara melaungkan semangat Melayu dan memberi amaran kepada kaum-kaum lain supaya jangan mencabar ini dan itu. Pilihan ini mudah dan menjanjikan populariti di dalam parti. Tetapi adakah ini sebenarnya mesej yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia, malah orang Melayu sendiri – apatah lagi pada waktu Presiden parti sedang membawa mesej perpaduan dengan gagasan 1Malaysia? Bagi Pemuda UMNO alaf baru, inilah keberanian sebenar ¡V bagi memilih jalan untuk Pemuda menjadi perintis ke arah perpaduan negara melalui semangat 1Malaysia.

49. Ada yang berpendapat biarlah Presiden sahaja yang membawa mesej kenegaraan, tetapi Pemuda UMNO hendaklah meneruskan agenda dan pendekatan lama. Jika kita memilih berbuat demikian, rakyat akan melihat UMNO sebagai parti yang kucar kacir, parti yang hipokrit, tanpa satu ideologi asas yang konsisten untuk rakyat dan pengundi. Kita akan diadili sebagai parti yang cakap tidak serupa bikin, apatah lagi dalam era teknologi yang berupaya mendedahkan sebarang hipokrasi lantas menuntut satu konsistensi mesej di segenap lapisan kepimpinan parti dan Kerajaan. Adakah dalam konteks baru ini kita mahu Presiden parti bercakap mengenai satu perubahan ¡V satu anjakan memecahkan benteng pemisah antara kaum ¡V manakala Pemuda UMNO pula enggan berubah, sebaliknya bertempik melaungkan perkara yang berlainan daripada apa yang diperkatakan oleh Presiden?

50. Pembaharuan ke arah landasan ini tidak bermaksud kita lupa kepada agenda Melayu. UMNO dan Pemuda UMNO tetap akan menjadi pejuang bangsa ¡V mempertahankan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Ini semua perkara asas perjuangan UMNO yang tidak akan sekali-kali luntur dari agenda kita. Namun kita perlu memperjuangkan semua ini berlandaskan dua prinsip, iaitu keadilan dan rahmah, terutamanya dalam hubungan dengan kaum-kaum lain. Kompas perjuangan ini akan menggariskan agenda nasionalis kita, yang bukan berteraskan konsep kekuasaan Melayu atau Malay dominance yang sempit, tetapi kepimpinan Melayu atau Malay leadership yang adil dan rahmah.

51. Sebenarnya, jika diimbas sejarah kepimpinan UMNO dan BN, ternyata sekali prinsip kepimpinan Melayu yang adil dan rahmah sudah pun terpahat dalam realiti politik tanah air. UMNO dan BN telah mempamerkan kemampuan menjaga kebajikan dan kepentingan seluruh warga Malaysia. Contohnya, lihat sahaja pada perjuangan membenteras kemiskinan ¡V agenda ini tidak berlandaskan warna kulit semata-mata, tetapi sebaliknya, dipanjangkan kepada mana-mana golongan kurang bernasib baik. Maka, berbekalkan landasan politik yang dihormati semua, pembaharuan yang diperlukan dalam lanskap masa kini adalah untuk UMNO dan orang Melayu konsisten dalam memantapkan kepimpinan nasional kita untuk semua rakyat Malaysia.

52. Seruan agar segenap masyarakat wajar diberi pembelaan bukan sahaja sesuatu yang dianggap sebagai hak sejagat atau universal right tetapi sebenarnya datang dari agama suci kita sendiri. Kerajaan di bawah pimpinan UMNO sering mengambil inspirasi Islam sebagai landasan kepada dasar negara, seperti prinsip Islam Hadhari yang menjamin hak golongan minoriti dibela. Justeru, tidak salah sekiranya orang Melayu juga memperjuangkan kepentingan warga Malaysia secara keseluruhannya. Malah, apabila kita menghormati pegangan dan agama orang lain, mereka juga akan lebih menghormati kita. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al An¡¦am, ayat 108:

¡§Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan¡¨

53. Barangkali ada yang mengungkit adakah kita patut mempertahankan bangsa lain sekiranya mereka mempersoalkan kedudukan kita? Di sinilah kepimpinan kita akan teruji. Sebagai bangsa yang diberi amanah dan penghormatan untuk memimpin, orang Melayu tidak boleh mengikut rentak biasa ¡V sebaliknya kita mesti melaksanakan sesuatu yang mengatasi apa yang biasa. Barulah kita akan berupaya memimpin dan dilihat sebagai pemimpin yang mendapat pengiktirafan lebih menyeluruh. Inilah satu lagi contoh Kepimpinan Melayu yang saya maksudkan ¡V kepimpinan yang adil dan rahmah yang diterima oleh semua.

Saudara Perwakilan sekalian,

54. Pembaharuan ke arah kepimpinan nasional Melayu yang lebih jitu akan boleh dilaksanakan sekiranya orang Melayu sendiri membuat anjakan kepada perjuangan yang berbekalkan keyakinan ketamadunan kita, atau civilisational confidence. Keyakinan ketamadunan ini bermakna kita yakin dengan keupayaan bangsa untuk melangkah ke hadapan, mengukir kejayaan tanpa perlu takut bayang-bayang sendiri. Inilah cabaran generasi kita.

55. Saya menyebut soal cabaran generasi, kerana untuk terlalu lama orang Melayu dan UMNO sendiri, berada dalam perspektif minda atau mindset yang negatif dan defensif. Kita merasakan diri kita seolah-olah diserang atau under siege, dan segala gerak kerja seakan-akan disalurkan ke arah mempertahankan keistimewaan Melayu yang kita anggap sentiasa dicabar. Saya menyeru orang Melayu bermula dengan Pemuda untuk keluar dari perspektif minda ini. Tidak dinafikan, bahawa Perkara 153 Perlembagaan, yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, adalah keramat buat kita. Namun, jika dikaji dengan teliti, Perkara 153 hampir mustahil untuk dilucutkan daripada Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan memerlukan bukan sahaja kelulusan 2/3 Parlimen, tetapi mesti juga mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja. Ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa secara realistiknya, kedudukan istimewa kita tidak mungkin boleh diubah.

56. Tetapi percayalah, Perkara 153 dengan sendirinya tidak akan menjamin kesejahteraan dan kemajuan bangsa. Sedarlah, sedarlah kita semua, bukan peruntukan perlembagaan yang membawa keistimewaan sebenar, tetapi kebolehan dan pencapaian orang Melayu-lah yang akan menentukan sama ada kita menjadi bangsa istimewa, bangsa yang unggul, bangsa yang terbilang.

57. Hak dan keistimewaan Melayu itu penting. Namun yang lebih penting adalah bagaimana bangsa kita diperkasakan. Apa yang perlu kita wujudkan ialah satu dimensi baru dalam perjuangan Melayu supaya pegangan ekonomi dan status bangsa kita dapat dimajukan, sesuai dengan semangat pemerkasaan Melayu yang wajib dicapai bersama. UMNO dan bangsa Melayu secara keseluruhannya, perlu beralih daripada kaedah atau setting defensif yang selalu menganggap ada orang lain mahu merampas hak dan hartanya, kepada Melayu yang berbekalkan keyakinan ketamadunan bangsa, mengukir visi kemajuan untuk masa hadapan. Inilah dilema Melayu yang baru ¡V persoalan generasi yang wajib dijawab. Adakah kita hanya mahu mempertahankan simbol demi simbol atau adakah kita berani menerima hakikat bahawa perlu ada perubahan mekanisme dan visi demi melihat bangsa Melayu itu terus melangkah maju? Bagi saya, pilihan kedua merupakan jawapannya.

58. Saya percaya inilah juga visi YAB Presiden, yang, contohnya, telah memansuhkan keperluan pegangan ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Malaysia. Sudah pasti Presiden mengambil langkah sedemikian bukan sebab beliau tidak endah akan agenda Melayu, tetapi sebab ternyata mekanisme 30 peratus itu tidak dapat memenuhi matlamat asalnya.

59. Presiden sendiri telah mengatakan bahawa daripada RM54 bilion nilai pegangan saham yang diberikan kepada Bumiputera melalui mekanisme 30 peratus ini, hanya RM2 bilion sahaja yang tinggal dalam tangan ¡V habis dijual untuk pulangan cepat, tanpa kelangsungan kemajuan yang kita inginkan. Jadi terbuktilah ada simbol, mekanisme dan tongkat yang kita pertahankan selama ini tidak mencapai objektif yang asal.

60. Malah, apabila Presiden memansuhkan kriteria pegangan saham Bumiputera itu, beliau juga telah memperkenalkan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sebagai institusi pelaburan baru yang boleh menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi. Inilah anjakan yang dipelopori oleh Presiden ¡V bantuan secukupnya disalurkan kepada Melayu yang layak dan berpotensi, dan bukan mekanisme-mekanisme simbolik yang hanya membantutkan daya saing Melayu dan memberikan kita satu perasaan keyakinan yang palsu tanpa memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi Melayu yang sebenar.

61. Pengisian visi kemajuan bangsa kita memerlukan satu keyakinan untuk kita menerima persaingan berdasarkan kepada merit, kemampuan dan kebolehan kita sendiri. Usah kita bercakap tentang meritokrasi antara kaum, jika dalam kaum kita sendiri pun kita belum mempraktikkannya. Jangan kita sebagai generasi muda mengamalkan budaya mencantas bakat Melayu sebelum bakatnya dapat diasah. Amat merugikan kepada bangsa sekiranya akibat hasad dengki, kita sanggup berusaha menjatuhkan orang Melayu lain yang berpotensi semata-mata untuk memuaskan hati. Kita perlu mengikis sifat dengki sesama kita, sebaliknya membantu dan memberi dorongan sewajarnya kepada saudara-saudara sebangsa seagama untuk lebih berjaya. Inilah maksudnya ¡§keyakinan ketamadunan¡¨. Kita tidak takut pada bayang-bayang sendiri.

62. Impian saya adalah untuk melihat suatu hari nanti, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dipenuhi anak muda Melayu bukan kerana kuota, tetapi kerana kelayakan merit. Tatkala kita mempertahankan kuota sekarang ini, jangan kita lupa, kuota sepatutnya hanya satu langkah bantuan, dan bukannya talian hayat orang Melayu selama-lamanya. Visi Melayu bukan untuk mempertahankan kuota semata-mata, tetapi untuk merasa bangga melihat orang Melayu berjaya dengan kekuatan sendiri.

63. Usah kita pesimis dan perlekehkan potensi bangsa kita ¡V keyakinan untuk menerima persaingan yang lebih terbuka sudah wujud dalam hakiki budaya kita sendiri. Apakah kita mahu berdiri di sini mengatakan sejarah tidak pernah mempamerkan bangsa Melayu bekerja keras meredah seribu satu badai untuk mencapai misi? Lihat saja-lah pada peribahasa Melayu yang menggalakkan ketekunan, kerajinan dan jimat-cermat dan responsif dengan cabaran dan suasana sekelilingnya seperti:

Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat
Rajin bekerja mudah belanja
Cermat masa banyak, jimat masa sedikit
Cicir dipungut, hilang dicari
Dalam berselam, cetek bertimba

64. Visi ini, anjakan ini, turut menuntut keberanian kita sebagai orang Melayu untuk melihat ke hadapan, berbekalkan keyakinan dan kepercayaan diri untuk mencapai kemajuan bangsa. Sebagai Pemuda waktu ini, kitalah generasi yang boleh melakukan perubahan tersebut. Kitalah generasi yang boleh berkeras mengatakan cukup-lah! Cukup-lah kita menidakkan keupayaan bangsa kita. Cukup-lah kita dikongkong ilusi yang menyatakan Melayu lembab, Melayu malas, Melayu bodoh. Generasi kita perlu bangkit menyahut cabaran masa kini dengan mengatakan Melayu tidak lagi takut berhadapan dengan dunia luar kerana Melayu tidak lembab, Melayu tidak malas, Melayu tidak bodoh. Sebaliknya, bangsa Melayu adalah bangsa berdaulat; satu bangsa yang bijak dan serba boleh. Pemuda Melayu generasi ini perlu memimpin bangsa kita keluar dari batasan dan kepompong minda yang menghakis keyakinan diri, serta maju ke hadapan – inilah perjuangan kita.

Bangunlah Bangsaku

Apalah erti omongan jika lekang dengan tindakan;
Harapan berkecai bak debu berterbangan jika tidak diampuh peranan;
Puas sudah gurindam dilagu, merungkai mengupas belenggu bangsaku;
Laungan dan panji-panji menggegar jiwa,

jumud dan kaku, makin sayup merintih sayu;

Namun aku pasti;
Fajar kini menyingsing lagi;
Menyingkap tirai membawa harapan seribu erti;
Namun menjajikan kegelapan kepada yang dengkal

Alpa dan iri hati;
Justeru bangunlah bangsaku;
Penuh kesedaran dalam kematangan

Disuntik azam baru;
Gembelingkan tenaga, berpadu, kita teguh bersatu;
Perwajakan hati, perkasakan diri

Sedia kita tempuh segala seteru;
Kerana masa beredar dan bumi berputar

Memungkinkan perubahan yang tidak menentu.

Justeru bangunlah bangsaku yang mapan dan berdikari,
Dibawah laungan 1Malaysia

Agar kita duduk sama rendah, kita berdiri lebih tinggi,
Agar jiwa bangsaku yang bermaruah

Tidak ditindas, tidak dihina, tidak perlu merintih lagi;
Mengibar panji di puncak ekonomi

Bukan lagi suatu mimpi;

Bangunlah bangsaku

Jangan kita tersungkur lagi;
Sejarah hitam jangan kita ulangi

Cukuplah hanya sekali;

Bangunlah bangsaku;

Perjuangan ini kita isi, kita galas, kita tunjangi;
Biar anak-anak kita tidak malu untuk mengakui;
Bahawa hasil perjuangan ayahnya bangga dikecapi;
Maruah bangsanya megah diwarisi.

Bangunlah¡K..bangunlah bangsaku;

Bangunlah bersama negaraku.

Saudara Perwakilan Sekalian,

65. Marilah kita barisan Pemuda berdiri teguh di belakang Presiden dan Timbalan Presiden kita, marilah kita bersama-sama mempertahankan Kerajaan kita yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, yang telah mengharungi pelbagai badai gelora bersama namun tetap tidak berganjak dari prinsip asas perjuangan – yang kekal bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, yang bekerja keras untuk membangunkan negara, tanpa perlu menabur janji-janji palsu semata-mata untuk menjadi Kerajaan di bumi yang tercinta ini.

66. Sedarlah, kita kini berada di persimpangan perjuangan. Inilah masa dan detiknya, kita – golongan muda bersatu menjadi nakhoda zaman, memacu perjuangan ke arah ketamadunan yang terbilang. Ayuh, bangkitlah, bangkitlah kita semua menyahut cabaran, menerajui harapan, menunaikan tuntutan demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO PADA PERASMIAN PERSIDANGAN AGUNG UMNO 2011

UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2011 DI DEWAN MERDEKA, PWTC PADA 1 DISEMBER 2011, JAM 9:30 PAGI

“UMNO MENJUARAI TRANSFORMASI”

Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

2. Berbekal rasa tawadhu’ dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung UMNO kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi. Baginda telahkembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

3. Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan. Baginda telah didokongdan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, SaidinaUmarAl-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

4. Seterusnya,Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat,simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

5. Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkantali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi. Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Saudara dan Saudari,

6. Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaikiperjuangan UMNO, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis,selaku sebuah parti penuh berjasa.

7. Tahun ini, UMNO menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

8. Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa.Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkinpadam cita-cita.

9. Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.

Saudara dan Saudari,

10. Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri……, bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria UMNO, wargaparti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini. Marilah….., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya.

11. Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Dato’ Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Begitulah juga tokoh-tokohyang masih teguh berbakti hingga ke detik ini, seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan Tun Musa Hitam.

Saudara dan Saudari,

12. Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Saudara dan Saudari,

13. Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni UMNO, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia.

14. Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

15. Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui UMNO. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.

16. Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.

Saudara dan Saudari sekalian,

17. Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnyamereka menjadi negara yang gagal.

Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asalusulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak. Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu…

18. Jadinya, padaperhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula UMNO sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO.

19. Maksudsaya, bila mana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli UMNO. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang UMNO. Makna kata, orang UMNO yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

SaudaradanSaudari,

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang UMNO itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang UMNO tidakakan sekali-sekali mengkhianati parti.

Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat.Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.

Dalam berijtihad pula, orang UMNO harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa’, apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikutseperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekali pun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang UMNO.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, diaangguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi dibelakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.

Saudara dan Saudari,

CINTA DAN KASIH

Ada pun nilai kedua orang UMNO itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya…itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang UMNO itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang UMNO wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang UMNO harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tandakasih, orang UMNO sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.

Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang UMNO wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta… tak mungkin Pak… engga’ bisa Pak…

Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang UMNO itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang UMNO.

Bersandarkan prinsip persalingan, orang UMNO harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat.

Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapa pun senyap suara mereka, biar betapa pun jua diam gerak geri mereka.

Disudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang UMNO perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah?

Mahu tidak mahu, orang UMNO harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan UMNO menang, biar dilintang apa pun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat. Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruahparti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

Saudara dan Saudari,

i) 1946

20. Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar UMNO adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua,masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.

21. Jangan dilupa juga, termusta’id dalam lembaran sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu. Sekaligus, ditanda dengan episod itu, UMNO telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Saudara dan Saudari

ii) 1951

22. Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh UMNO apabila Dato’ Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas,meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertua dan keluar dari parti.

23. Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap UMNO keranahilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

24. Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, UMNO akan karam,amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan “Hidup Melayu” telah diubah kepada “Merdeka”.

25. Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Dato’ Onn untuk membuka pintu UMNO kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan partiwaktu itu,memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan UMNO, MCA dan MIC. Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Saudara dan Saudari,

iii) 1955

26. Menyentuh usaha tersebut, iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina.

27. Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau,hampir 4 peratus sahaja,di kalangan pengundi India.

28. Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang UMNO, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa. Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

29. Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

30. Terbukti, sejak dari dulu lagi, UMNO bukanlah sebuah pertubuhan rasis.UMNO sebenar dan sebetulnya adalah pencetussertaperintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

iv) 1957

31. UMNO juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekali pun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong. Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya,di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

32. Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad,di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955. Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, FELDA ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

33. Penubuhan FELDA menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan. Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Saudara dan Saudari,

34. Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi UMNO dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948. Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripadatempoh tiga tahun selepas 1957.

35. Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini. Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

36. Oleh yang demikian, UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidakakan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya. Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia.

37. Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran. Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.

38. Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

39. Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Saudara dan Saudari,

v) 1969

40. Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, UMNO dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman. Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapatdikalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

Saudara dan Saudari sekalian,

vi) 1970

41. Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

42. Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, RISDA, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan KEJORA, KETENGAH, PERDA, KEDA, KESEDAR, DARA danLembagaKemajuanWilayah Jengka.

43. Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula,kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, UDA, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

44. Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Saudara dan Saudari,

vii) 1988

45. UMNO menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun UMNO berpecah dua,seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah,hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

46. Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan UMNO lama, UMNO baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.

Saudara dan Saudari,

viii) 1990

47. Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum diMalaysia.

48. Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000. DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

49. Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera.Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

50. Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

51. Dasar inijuga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat,usahawan, hartawan dan cendekiawan.

Saudara dan Saudari,

52. Sebagai dimaklumi,asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

53. Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

54. Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

Saudara dan Saudari,

ix) 1999

55. Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data. Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif.Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

56. Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau,124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isirumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau,lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar.

57. Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera,bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

Saudara dan Saudari,

x) 2011

58. Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerryMessenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

59. Umpamanya, ucapan perayaan AidilAdha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

Saudara dan Saudari,

60. Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir SaddamHussein ditali gantung, serta juga nasib yang menimpa MuammarGaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat,adalah juga, genesis kepada medium media sosial. Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan You Tube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.

61. Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusatjalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan,berkemampuan melayari internet manakala 1700 lagi masih dalam proses.

62. Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Saudara dan Saudari,

63. Begitu jugabermula tahun 90an,bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

64. Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20.Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti danlebih 400 kolej swasta serta5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud.

Saudara dan Saudari sekalian,

65. Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah,telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

66. Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

67. Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, UMNO perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

68. Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun.

Saudara dan Saudari,

69. UMNO sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

70. Dalam sejarahnya, UMNO adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan UMNO yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini. Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

PENUTUP

Saudara dan Saudari,

71. Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

72. Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi “gamechanger” kepada UMNO menyusuri sejarah parti.

73. Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

74. Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang,samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

75. Ketiganya, UMNO sentiasa mengulungi idea atau “supremacyofideas” dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

76. Keempat,UMNO perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksanamengutamakan kebajikan rakyat.

77. Kelimanya, kebolehan UMNO untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Saudara dan Saudari,

78. Oleh sebab itulah, apabila saya mengambilalih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

79. Dalam parti,mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang UMNO diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. UMNO bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah UMNO adalah parti yang mendakap demokrasi. Kata pepatah Inggeris “the proof of the pudding is in the eating”.

80. Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasapulakdari Presiden parti. Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun,langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

81. Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala…., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknyatidak diundi secara demokratik,tetapi ternyata lebih berkuasa dari Presiden. Sama jugak dengan Parti A.Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak ….. hrmm … tak payah lah kita cerita.

Saudara dan Saudari,

82. Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika UMNO masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi “gamechanger” atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional,sertatidak pula mengambil langkah merangka semula “gameplan” yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

83. Apakah yang dimaksudkan dengan gamechanger ini? Pertamanya ialah realiti baru.Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya? Keduanya,media baru. Mahu tidak mahu,suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini,detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan. Ia berupaya mendatarkan “the playing field” atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang UMNO wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

84. Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, UMNO selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

85. Ketiga, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada dikalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Saudara dan Saudari,

86. Selama hampir enam dekad, UMNO telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

87. Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma’ dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata “kita tukar jadi negara kebajikan”. Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

88. Berbeza dengan UMNO, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional.Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Saudara dan Saudari,

89. Sebagai gamechanger yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam.Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi.Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

90. Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia. Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

Saudara dan Saudari,

91. Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam. Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demikehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

92. Ingatlah….., ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang UMNO, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, UMNO, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

93. Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa,UMNO langsungtiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Saudara dan Saudari,

94. Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

95. Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

96. Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkantidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Saudara dan Saudari,

97. Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yangdapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.

Saudara dan Saudari,

98. 500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

99. Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya.

Saudara dan Saudari,

100. Akhir kalam, selaku Presiden UMNO, saya bersyukur kerana mempunyai Timbalan Presiden yang setia, barisan Naib Presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang UMNO sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

101. Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti.

Mudah-mudahan Allah memberkati.

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO