Saturday, June 09, 2012

TAHU DIRI

Tahu diri dalam bahasa arab 'tawadu'. Ertinya kita insaf dimana kedudukan kita yang sebenarnya, sehingga tidak lebih ke atas daripada tempat kita yang sebenarnya dan tidak pula di bawah. Jadi bukanlah merendah diri, sebagaimana kerap kali orang salah mengertikannya.

Orang yang mengangkat dirinya lebih daripada semestinya membesar-besarkan diri, tidak tahu mengaku tahu dan sebagainya, nescaya dalam waktu yang tidak berapa lama akan kelihatan kebodohan atau kelemahannya.

Tak usah kita memukul canang menunjukkan diri, kerana 'manikam' tulen akan dapat di kenal oleh 'jauhari'. Emas lancung tiada perlu di sepuh, kilat tembaga akan kelihatan juga. Manusia serupa belaka. Kelebihan yang akan di dapat hanyalah kerana bekas. Lebih baik serupa orang mengaji, mulai dari bawah, dari alif. Agar kelak beransur-ansur kepada huruf lain. Buruk amat kalau di mulai dari atas kerana terpaksa turun juga.

Tahu diri bukan ertinya membuat diri menjadi hina, segan-segan, menyisih-nyisih, hingga timbul takut bergaul, atau kaku dan canggung. Bukan! Sebab hal yang sangat berbahaya, harus dibuang jauh-jauh. Orang yang pandai memyesuaikan diri , ialah yang tahu dimana tempat duduknya. Dia tahu apa ada padanya dan mana dia kurang. Bagaimana pun jua masyhurnya dan besar seseorang , namun "segala tahu" tidaklah ada.

Orang "segala tahu" sangatlah menjemukan.

MENCARI NAMA!

Salah satu daripada perangai kegila-gilaan di zaman kita ini, ialah mencari nama dan kemasyhuran. Kalau orang suka menyelidiki, jarang sekali orang yang terlepas daripada penyakit keanak-anakkan ini, sehingga agaknya mereka sangka bahawa ketenangan dan berdiam diri itu suatu malu yang tidak dapat dipupuskan.

Sebab itu mereka berlumba, berkejar-kejar sehabis daya upaya menyatakan diri dan iklannya ke muka umum. Segala tipu daya, segala ikhtiar dan usaha, dicari, diusahakan, supaya nama di sebut orang. Mereka semuanya seakan-akan orang binggung, bersorak setinggi langgit, serupa penumpang perahu yang tenggelam layaknya, terdampar kepada sebuah pulau, lalu di garangnya api, di kipas-kipasnya kain kepada kapal yang lalu lintas, supaya penumpang kapal itu tahu bahawa dia ada dalam pulau tersebut.

Yang herannya, penyakit mencari nama itu bukan sahaja menyerang kepada orang-orang yang suntuk akal, makhluk 'kelas tiga' di dalam masyarakat. Bukan sahaja verkooper berkeliling yang mengagungkan jualannya, menyatakan kejempolannya. Bukan sahaja tukang-tukang jual 'obral' atau penjaja-penjaja ubat yang 'berlesing' di tepi jalan menyatakan ubtnya yang paling manjur dari segala macam ubat di atas dunia ini, sehingga dokter sendiri berkali-kali kalah di buatnya.

Bahkan, yang lebih menyedihkan hati, penyakit ini lebih hebat menyerang orang-orang yang tidak di sangka begitu, iaitu sebagai penganjur-penganjur pergerakan politik, yang datang ke dusun-dusun menyatakan kepada rakyat, bahawa dialah pemimpin yang tulen, sedangkan yang lain itu palsu. Dialah yang bekerja guna rakyat, sedangkan yang lainnya itu hanya guna 'kantungnya'.

SIAPA PEJUANG?

Seorang ibu menyusukan anaknya dengan segala kejujuran. Dia tidak meminta upah daripada anaknya. Tetapi seorang anak yang cukup kemanusiaannya, dengan sendirinya merasa bahawa dia wajib membalas jasa ibunya dan ayahnya.

Seorang lelaki sejati yang terkemuka dalam masyarakat bangsanya, akan terus memimpin bangsa itu dengan segala daya upayanya. Dinyatakan fikiran-fikirannya yang beerti, yang akan berguna bagi mereka.

Kadang-kadang fikiran itu di terima orang dan kadang-kadang orang tolak. Dia akan bekerja juga, walau upahnya hanya dicebir orang.

Seorang satria belerja keras membela tanahairnya, siang dan malam, pagi dan petang, tiada mengenal bosan payah. Upahnya hanya di buang, di denda, di asingkan dari kaum kelaurganya, bahkan ada juga yang di bunuh.

Friday, June 08, 2012

PEMIKIRAN YANG BEBAS ATAU IDEA BARU?

Apa lagi yang mahu di buktikan? Memang sejak dulu, generasi muda sentiasa mahukan kebebasan dalam mengadaptasi, mengenengahkan idea baru dan cuba memulakan prinsip pemikiran yang baru. Padahal sejak wujudnya manusia, se awal Nabi Adam a.s. dan, anak-anaknya Habil juga Qabil, telah membuktikan bahawa manusia itu tak kira muda atau tua atau apa status pun. Kejahatan sentiasa menang dalam diri manusia. Sejauh mana kritis atau puitis seorang yang berlabelkan manusia itu adalah tidak terpelihara dengan kisah dan tauladan. Hari ini perbuatan baik di sangka buruk, mungkin juga perbuatan buruk di sangka baik.

'Niat buruk, jahat prasangka' itu adalah biasa dan normal dalam pemikiran manusia. Tambahan pula dengan perbuatan atau perlakuan bagi melengkapi niat tersebut. Maka kejadian demi kejadian akan terus berlaku.

Apakah pembuatan 'mematikan' anak dalam kandungan seorang ibu muda itu lebih baik kerana ingin menyelamatkan nyawa ibu muda tersebut? Semestinya kerana sebab dan alasan yang baik jika bayi itu mempunyai kompilasi yang bakal memudaratkan nyawa kedua beranak tersebut. Itu contoh dalam konteks sains. Pernah dengar contoh dalam agama? Bagaimana seorang islam itu mengaku kafir dan tidak islam hanya kerana hukuman mati yang bakal di terimanya? Kisah para sahabat nabi muhammad saw yang merampas dan membahagikan sesama mereka harta rampasan perang?

Hari ini jika kerajaan negeri berpakat membahagikan harta negeri dengan niat mengembangkan agama islam, adakah kita akan percaya?

Atau, para pembesar negeri menerangkan bahawa ada jalan besar yang bakal di bina dan memerlukan duit kutipan derma bagi membangunkan lebuhraya tersebut? Sahih? Boleh terima?

Atau, mungkin kerajaan pusat memerlukan buruh paksa untuk di hantar keluar negara untuk membina landasan keretapi di luar negara dulu adalah cara menguruskan negara yang betul?

Hari ini siapa yang betul? Saya? Anda? Atau kita tunggu apa mimpi kita malam nanti? Atau kita biar islam itu menentukan bahagian syurga mana yang kita boleh pilih apabila kita mati kelak..


Monday, June 04, 2012

SIAPA LEBIH BENAR?

Yang berlaku kepada BN atau UMNO itu semua adalah perkara yang di benci dan di larang tuhan. Tetapi yang berlaku kepada PKR, PAS itu pula adalah fitnah segalanya.

Sedaya upaya masing-masing cuba menyembunyikan kesalahan. Diam bila terkena ke atas hidung sendiri. Pukul canang bila kena kepada orang lain.

Kalau bukan kerana politik pun, manusia memang sebegitu. Termasuk juga urusan mengadap tuhan. Akan berjemaah bila imam itu adalah sama parti dengannya. Mengelak sebarang program pengajian atau kisah masjid kalau bukan dalam parti yang sama.

Yang berlaku dalam senario politik hari ini? Siapa lebih islam? Yang mengaku partinya lebih islam? Atau yang cuba mengamalkan ajaran islam itu sendiri?

Bahasa kasarnya, jika kita sembahyang adakah kita lebih islam dan lebih baik dari orang islam lain? Yang menjadikan kita lebih baik itu adalah kerana agama?

Siapa pula kita yang menuding jari kearah orang lain tanpa sedar kita juga di tuding orang!

Hanya satu panduan saya, jika saya ingin melihat manusia lain, saya lihat hubungannya dengan tuhan. Jika hubungan dengan manusia dan masyarakatnya pun seorang manusia itu tak boleh tampak baik, agak-agak hubungan mereka dengan tuhan itu adalah lebih baik?

Hubungan manusia antara manusia, hubungan manusia dengan tuhan. Tapi jika hubungan nya dengan tuhan adalah hebat, masakan hubungannya dengan manusia lain tidak baik? Pasti ada yang tak kena jika berlaku sebaliknya pula.








I blog with BE Write

Sunday, June 03, 2012

PIAGAM MADINAH

Fasal 1
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang : Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.

Fasal 2
Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain.

Fasal 3
Golongan Muhajirin dari Quraisy tetaplah di atas pegangan lama mereka : mereka saling tanggung-menanggung membayar dan menerima diyat (wang tebusan) di antara sesama mereka dalam mana mereka menebus sesiapa yang tertawan dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang beriman.

Fasal 4
Bani Auf (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka dalam mana mereka bersama-sama tanggung-menanggung membayar serta menerima wang tebusan seperti dulu; dan setiap taifah (golongan) tetaplah menebus sesiapa yang tertawan dari kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 5
Bani al-Harith (dari Yathrib – Madinah) bin al-Khazraj tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tia-tiap puak dari (Suku Khazraj) hendaklah membayar wang tebusandarah mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 6
Bani Saidah (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 7
Bani Jusyam (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 8
Banu al-Najjar (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 9
Bani Amru bin Auf tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 10
Bani al-Nabiet (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 11
Bani Aus (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

Fasal 12
Bahawa orang-orang yang beriman tidaklah boleh membiarkan sebarang masalah di antara mereka sendiri bahkan mestilah sama-sama bertanggungjawab memberi sumbangan, dengan berkebajikan untuk menbayar wang tebusan darah dengan adil.

Fasal 12-b
Hendaklah seseorang yang beriman itu tidak membuat apa-apa perjanjian dengan orang yang di bawah kawalan seseorang yang beriman yang lain dengan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu.

Fasal 13
Bahawa orang-orang beriman lagi bertaqwa hendaklah menentang sesiapa yang membuat kesalahan, melanggar kesusilaan, melakukan kezaliman atau dosa atau perseteruan atau kerosakan di kalangan orang-orang beriman, dan mereka hendaklah bersatu bersama-sama menentang orang tersebut walaupun jika orang itu anak kepada salah seorang dari mereka.

Fasal 14
Tidak sayugianya seseorang mukmin itu membunuh seorang mukmin lain kerana seorang kafir, tidak sayugianya ia menolong mana-mana kafir terhadap seseorang mukmin.

Fasal 15
Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka; dan bahawa orang-orang Mukmin hendaklah salinh menjamin sesama sendiri terhadap (gangguan) orang lain.

Fasal 16
Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapatkan pertolongan dan pimpinan dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.

Fasal 17
Bahawa perdamaian orang-orang mukmin itu adalah satu dan sama, oleh itu tidak boleh dibuat perjanjian dengan mana-mana orang mukmin tanpa diturut serta oleh mukmin yang lain dalam sesuatu perang pada jalan Allah, melainkan dengan dasar persamaan dan keadilan di kalangan mereka.

Fasal 18
Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya.

Fasal 19
Bahawa orang mukmin hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah pada jalan Allah.

Fasal 20
Bahawa orang-orang mukmin lagi bertaqwa hendaklah teguh di atas sebaik-baik petunjuk dan seteguh-teguhnya.

Fasal 20-b
Nahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik melindungi harta orang-orang Quraisy dan tidak juga nyawa mereka dan tidak boleh menghalang orang mukmin (akan haknya)

Fasal 21
Barangsiapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin dengan tidak ada bukti yang cukup hendaklah dihukum bunuh balas kecuali dipersetuji oleh wali yang kena bunuh menerima ganti darah. Semua orang mukmin hendaklah bersatu suara mengutuk perbuatan itu, bahkan tidak harus bagi mereka menegakkan terhadapnya.

Fasal 22
Bahawa tidak harus bagi mana-mana orang mukmin yang mengakui isi kandungan Piagam ini, dan percaya Allah dan Hari Kemudian, menolong mana-mana orang yang mencabul ataupun melindungi orang itu. Barangsiapa menolong orang itu maka keatasnya laknat Allah dan kemurkaanNya pada hari Kiamat kelak, dan tidak akan diterima darinya sebarang tebusan dan tidak juga sebarang taubat.

Fasal 23
Berbalah walau bagaimanapun kamu dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan Nabi Muhammad.

Fasal 24
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut serta membelanja sama-sama dengan orang-orang mukmin selama mana mereka itu berperang

Fasal 25
Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama orang-orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri (Yahudi) dan orang Islam dengan agama mereka (Islam), begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri

Fasal 26
Yahudi Bani al-Najjar (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.

Fasal 27
Yahudi Bani al-Harith (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.

Fasal 28
Yahudi Bani al-Saidah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.

Fasal 29
Yahudi Bani Jusyaim (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.

Fasal 30
Yahudi Bani al-Aus (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.

Fasal 31
Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf, kecuali orang-orang zalim dan orang yang berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya sendiri.

Fasal 32
Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu (Bani Tha’alabah)

Fasal 33
Bani Shutaibah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf, dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan.

Fasal 34
Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu.

Fasal 35
Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi (diperlakukan) sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri.

Fasal 36
Tiada seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh menarik diri keluar dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari (Nabi) Muhammad.

Fasal 36-b
Tidak boleh disekat dari membuat kelukaan yang dilakukan oleh mana-mana orang ke atas dirinya, barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah dirinya dan keluarganya kecuali orang yang dizalimi dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati piagam ini.

Fasal 37
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah menbiayai negara seperti mana orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama0sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.

Fasal 37-b
Mana-mana orang tidaklah boleh dianggap bersalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh sekutunya; dan pertolongan hendaklah diberi kepada orang yang dizalimi.

Fasal 38
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang mukmin selama mana mereka berada dalam keadaan perang

Fasal 39
Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini

Fasal 40
Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlaku sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa.

Fasal 41
Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan (wanita) melainkan dengan izin keluarganya sendiri.

Fasal 42
Bahawa apa juga kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran di antara sesama peserta piagam ini sekira-kira dikhuatiri membawa bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad pesuruh Allah, Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan piagam ini dan merestuinya

Fasal 43
Bahawa tidaklah boleh diberi bantuan perlindungan kepada Quraisy (musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya.

Fasal 44
Bahawa hendaklah bantu-membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya.

Fasal 45
Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama (Islam).

Fasal 46
Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka hendaklah memikul kewajipan sama seperti mana pihak-pihak yang lain yang menganggotai ini demi kebaikan mereka semata-mata (perdamaian) dari anggota-anggota piagam ini. Dan mereka hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa kerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah yang menanggungnya sendiri. Dan Allah menyaksi akan kebenaran isi kandungan Piagam ini dan merestuinya.

Fasal 47
Bahawa piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa –mulai dari saat ini barang siapa berpergiaan dari kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertakwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.

Saturday, June 02, 2012

UMNO : TUNKU ABDUL RAHMAN

.. Satu perkara yang kita semua ketahui ialah pembesar-pembesar Melayu telah mengasingkan diri daripada rakyat jelata.. UMNO ini tiada mendapat sokongan daripada pembesar-pembesar politik. UMNO ini bertulangbelakangkan rakyat jelata sahaja.. Pembesar-pembesar itu berdiri di barisan kerajaan British, kerajaan Melayu dan hartawan-hartawan dalam negeri ini..

.. Buruk atau baik bangsa kita itu tiada boleh diubah perasaan kebangsaan Melayu itu. Begitu juga Cina dan India yang datang dari negeri yang merdeka yang mempunyai sejarah yang mereka bermegah-megah dan berasa sombong dengannya..

.. Janganlah disifatkan bangsa tuan-tuan itu sebagai lembu yang siapa sahaja boleh mencucuk hidungnya. Ketahuilah bahawa bangsa kita ini sanggup memerintah negerinya sendiri sekiranya tidak diganggu oleh penjajah yang ada sekarang ini dan boleh bekerjasama dengan lain-lain bangsa yang menumpang dalam negeri ini..

.. Kebanyakan orang kita menyangka iaitu dengan tidak ada British memelihara dan menjaga kita maka kita akan menjadi umpan bagi makanan bangsa lain yang menumpang duduk di sini. Selagi perasaan seumpama ini tidak dihapuskan maka selama itulah kita akan di hambakan oleh sebarang bangsa yang datang ke negeri ini..

.. Baik apa pun kesilapan yang harus telah dilakukan oleh British di dalam riwayat penjajahannya yang panjang itu adalah suatu perkara yang telah terbukti dengan seterang-terangnya iaitu British telah menjadi johan keadilan dengan undang-undang dan cara hidup yang teratur..