Monday, March 03, 2014

Usia memburukkan kita!

Ujub! Bila rasa diri lebih baik dari orang lain. Bila rasa diri dah terpelajar dan anggap orang lain semua masih jahil dan fasiq.

Saya tidak pandai, hanya melihat potret diri. Lihat potret kawan. Lihat potret kenalan lain. Lihat dan baca komen orang lain. Saya berpaksikan kepada ilmu tepi jalan. Saya baca bahan buku murah dan terbuang. Saya tidak pandai berbahasa arab juga untuk mentafsir ayat-ayat agama.

Ada yang saya kenal sejak kecil, ada yang saya kenal di zaman persekolahan, ada yang kenal bila bekerja. Ada yang kenal kerana berselisih di tepi jalan atau yang bertegur sapa ketika berselisih di mana-mana majlis yang tidak dapat di ingat kembali kerana faktor kelupaan yang mula berada dalam diri. 

20 tahun lalu kita mungkin kenal dan sayangkan seseorang. 20 tahun lalu kita menyimpan perasaan pada seseorang. Kalau tidak kerana jodoh atau terpisah kerana kita bukan orang ada-ada. Kita sukakan seseorang tapi kita diam hingga hari ini. 

Kita mula sedar, kita masih ingat apa makanan kesukaannya. Kita masih ingat baju apa yang di pakainya ketika kali terakhir dan berpisah. Rupanya dia juga sama. Kita nama kan ingatan itu sebagai apa? Bukankah buruk jika dia atau kita telah pun berkeluarga dan kita masih mahu bercerita pada hal yang berlaku 20 tahun lalu? 

Saya bukan komen pada sesiapa. Hanya terfikir jika komen kita di ruang sembang yang pelbagai nama dan kisah itu akan lebih memburukkan perangai kita. Selama 20 tahun atau lebih atau kurang, kita tak berubah pada tingkah laku, perangai dan anggap kita lebih baik dari orang lain dengan petikan beberapa ayat berunsur nasihat atau terjemahan ayat-ayat suci Al Quran. Kita mungkin tidak sedar bahawa orang yang kita nak tarbiah atau kita nasihati itu lebih tinggi ilmu dalam dirinya kerana tidak berkata apa-apa.

Kita mempersenda pada ketua atau kerajaan yang memerintah dan lupa bahawa kita tak pernah pun tahu apa itu kerajaan pada agama, atau apa itu agama bagi kerajaan. Kita percaya air jampi yang menyembuhkan penyakit dengan tiupan menggunakan ayat-ayat suci dan akhirnya berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan dari jenis-jenis ubatan moden yang tidak di tiup atau di perbuat dari bijirin hitam atau habatus sauda. Tanpa sedar kita menyekutukan atau mensyirikkan Allah atas alasan tidak percaya kepada sains dan teknologi.

Kita boleh buat apa pada tubuh badan yang kian usang ini? Zat yang bagaimana dapat mengelakkan diri dari penyakit? Kita sedar kita tua, kita rasa kita nak berdakwah dan bercakap hal agama dan mempelajari ilmu akhirat dan menuntut orang percaya kita dah berubah dan jadi lebih baik dari semalam? 

Tak berguna sesaat pun jika orang yang kita kenal dahulu yang berbeza perangai dan tingkah lakunya. Entah apa kejahatan yang dia dah lakukan pada orang lain. Begitu juga diri kita sendiri. Saya tak percaya pada orang yang melukakan hari orang lain dan kembali kejalan yang benar hanya kerana dia dah mula bercakap hal agama atau mula mempelajari agama. Pembohong semua itu! 

Saya lihat siapa di sekelilingnya. Saya lihat siapa ahli keluarganya. Saya lihat apa sumbangannya pada masyarakat. Saya lihat bagaimana pertuturannya kepada orang lain. Saya lihat kedut senyumannya pada orang lain. Saya lihat bagaimana dia menghormati masa. Saya lihat siapa yang berubah dan jadi pengikutnya.. 

Cuba tanya diri sendiri? Agama itu untuk siapa? Kita suruh atau kita buat? 


No comments: