Friday, December 26, 2014

Majlis Cinta Rasul 2015 Berjemaah Membantu Mangsa Banjir

Untuk Siaran Akhbar 26 Disember 2014

Majlis Cinta Rasul 2015 Berjemaah Membantu Mangsa Banjir

Malam Cinta Rasul 2015 yang bakal dianjurkan pada 31 Disember 2014 jam 8:00 malam di Dataran Merdeka Kuala Lumpur adalah hasil dari kerjasama dan gabungan pelbagai badan kebajikan seperti Yayasan Pendidikan Cheras, Richwell (Pertubuhan Kebajikan dan Rekreasi Richworks Group Sdn Bhd), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & TV Al Hijrah serta sumbangan ikhlas dari individu-individu yang bertujuan mendekatkan anak-anak muda Islam dengan majlis ilmu sempena acara sambutan Tahun Baru yang sudah bertahun-tahun sangat kurang atau tidak langsung mendekatkan mereka kepada ALLAH SWT dan Rasulullah SAW.

Dataran Merdeka yang lebih dikenali dengan tapak pelbagai acara hiburan sebelum ini akan mewujudkan satu suasana baru dan fenomena baru pada anak-anak muda yang menyaksikan acara Program Malam Cinta Rasul 2015 yang sarat dengan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW sesuai dengan dakwah jalanan. Program Malam Cinta Rasul 2015 adalah platform terbaik dianjurkan setiap tahun di luar perkarangan masjid, menunjukkan kepada masyarakat umum yang beragama Islam dan bukan Islam betapa Islam itu mudah didekati. Islam itu ada hiburan yang tidak melampaui batasnya.

Menyedari bahawa Dataran Merdeka adalah tempat yang sering menjadi tumpuan umum dalam acara-acara hiburan kebelakangan ini, pihak penganjur terpanggil untuk memberi mesej kepada umum agar acara-acara hiburan yang melalaikan itu diganti dengan acara-acara hiburan yang bermanfaat, diisi dengan ceramah keagamaan dan disulam dengan kisah-kisah teladan terbaik dari Rasulullah SAW.

Namun menjelang berlangsungnya Program Malam Cinta Rasul 2015 ini, tanahair tercinta ketika ini diuji dengan musibah banjir paling buruk dalam sejarah. Kami di Sekretariat Program Malam Cinta Rasul 2015 menyedari bahawa tiba masanya umat Islam tanahair ini duduk bersama solat hajat memohon doa kepada ALLAH SWT dengan rasa kasih dan sayang kepada KekasihNYA agar diturunkan rahmat kepada tanahair ini dan diangkat segala bencana kerana hanya DIA yang Maha Berkuasa untuk menahan segala bala bencana alam. Malam Cinta Rasul 2015 akan dimulakan dengan solat isya' serta solat hajat sebagai tentatif utama program pada malam itu nanti.

Menjawab tuduhan bahawa program ini membazir dan sebagainya, kami ingin tegaskan di sini bahawa tiada pembaziran yang akan berlaku dalam usaha untuk memohon rahmat ALLAH SWT, menyuburkan rasa kasih dan sayang kepada KekasihNYA Nabi Muhammad SAW dan kami menyedari bahawa tiada bayaran yang mampu dibayar untuk mendapatkan Rahmat ALLAH SWT melainkan doa dari seorang yang taat kepada ALLAH SWT dan cinta kepada KekasihNYA. 

Memang tidak dinafikan untuk menganjurkan program seperti ini memerlukan kos tetapi jumlahnya amat kecil kerana tiada kos diperlukan untuk menganjurkan program ini di Dataran Merdeka hanya sedikit kos sistem audio untuk digunakan di dalam majlis tersebut nanti.

Semoga tujuan kita untuk menghimpunkan umat Islam di Malaysia untuk sama-sama mengingati ALLAH SWT dan Rasulnya akan membawa rahmat ke bumi Malaysia.

Dalam masa yang sama, ALLAH SWT berfirman dalam Al Quran “ (Ingatlah) kamu pada-Ku,
niscaya Aku akan ingat pula padamu. ” (Al--
Baqarah :152) dan “Bersyukurlah pada aku dan janganlah kau mengkhufuri aku.”

Pihak penganjur sangat prihatin dan peka bahawa penganjuran program sebegini seharusnya dianjurkan dengan penuh kesederhanaan dan tanpa pembaziran. Oleh itu, pendekatan yang diambil oleh pihak penganjur hanya bertujuan menganjur majlis ilmu dengan penuh kesederhanaan dan tidak melibatkan kos berjuta-juta ringgit seperti yang fitnah yang di sebarkan oleh pihak-pihak tertentu baru-baru ini.

Bagi membantu mangsa banjir yang sedang timpa musibah, Sekretariat Program Malam Cinta Rasul 2015 mengambil  inisiatif melancarkan gerakan Tabung Prihatin Banjir yang akan digerakkan secara meluas pada malam acara itu berlangsung. Untuk mengelakkan sebarang kata nista dan adu domba, Sekretariat Program Malam Cinta  Rasul 2015 akan mengumumkan secara rasmi jumlah kutipan dari Tabung Prihatin Banjir pada media selepas acara berlangsung.

Pihak penganjur mengajak seluruh umat Islam untuk berhimpun bersama seluruh rakyat Malaysia, selami betapa pentingnya kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW yang diutus ALLAH SWT sebagai Rahmat Sekalian Alam. Lahirkan kecintaan kepada Rasul SAW tanda syukur kepada Allah SWT Mudah-mudahan dengan cinta kepada KekasihNYA, doa dan harapan kita dimakbulkan oleh ALLAH SWT agar tanahair ini beroleh rahmat dan keberkatanNYA.

Rakyat Malaysia perlu sama-sama berhimpun untuk bermunajat kepada ALLAH SWT untuk keselamatan negara kita agar bebas dari segala bala bencana, sentiasa aman dan harmoni, kukuh ekonomi dengan kepimpinan kerajaan yang baik dan rakyat sentiasa cemerlang dan terbilang.

Pihak NGO dan individu sedia kala membantu dengan dana yang kami ada, tetapi kekuatan kami terhad kepada dana kami sahaja. Justeru itu, kami berhimpun seramai individu dan kumpulan untuk meringankan musibah yang menimpa sahabat-sahabat kita. Kalau kami sahaja yang membantu, memang tidak cukup untuk kami mengumpul dana untuk membantu ramai orang. Jika kami berjemaah dan berhimpun beramai-ramai, berdoa dan pada masa yang sama menderma untuk mangsa banjir, kami dapat mengumpul dana yang lebih banyak untuk membantu lebih ramai mangsa banjir.

Ini peluang kita rakyat Malaysia terutamanya umat Islam untuk membantu sahabat-sahabat kita yang dilanda musibah dan bukan hanya menuding jari menyalahkan orang lain apatah lagi takdir.

Sekiranya ALLAH SWT mampu menurunkan hujan dan mendatangkan banjir kepada DIA, pasti hanya kepada DIA lah satu-satunya tempat untuk kita merayu memohon untuk memulihkannya. Semoga bencana ini menjadikan kita lebih redha, sabar dan dekat kepadaNYA.

Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah
Pengerusi
Sekretariat Malam Cinta Rasul 2015

No comments: